Thursday, June 29, 2023

Tentang Bunga

 



Bunga sering dikaitkan dengan wanita.
Warnanya menarik perhatian,
Wangiannya harum membuat siapa saja yang menghidunya ketagihan.
Direnung lama pun tidak mengapa kerana bentuk kelopaknya yang menawan.

Namun begitu, dengan semua yang ada pada indahnya bunga,
Ianya tidak kekal lama.
Sering mengingatkan kita bahawa yang hidup pasti kan mati jua.
Semegah apa pun keadaannya,
Lama-kelamaan akan layu dan menua,
Akhirnya, kehidupan hanyalah masa yang memakan diri kita.

Ingatlah wahai para wanita,
Menghias diri itu lumrah buat kita,
Namun beringatlah,
Bahawa kehidupan ini sementara.
Bersederhanalah,
Supaya kita tidak mudah lupa.

SAJAK NUKILAN SENDIRI: WAHAI HATI



Wahai hati,

Berjaga-jagalah atas setiap apa yang ingin kau rasa.

Jangan disebabkan mata,

Terus menilai lalu memutuskan untuk berkata,

Tentang sesuatu yang tidak ada faedahnya.


Wahai hati,

Jagalah sikap dan tingkah laku,

Pada setiap masa dan setiap waktu.

Allah maha melihat apa yang berlaku,

Jadi berjaga-jagalah dahulu.

Persoalan



Kita melalui banyak hal dalam kehidupan,

Yang telah membuat kita menitiskan air mata,

Yang telah membuat kita jatuh dan terluka,

Yang telah membuat kita rasa sakit di jiwa.


Kita mempertaruhkan banyak hal dalam kehidupan,

Yang telah membuat hati kita retak seribu,

Yang telah membuat fikiran serabut tak menentu,

Yang telah membuat jantung sesak kerana sendu.


Sebenarnya, adakah kita ini tidak mampu?

Atau kita yang tidak bersungguh?


Kekecewaan telah membuatkan kita tidak punya waktu untuk berbahagia dengan seikhlasnya,

Tiada halatuju yang jelas matlamatnya,

Hilang diri yang sebenarnya.


Kita telah berjuang,

Namun takdir lebih hebat dalam menentukannya.

Sedar atau tidak,

Kita mula menyalahkan takdir,

Sedangkan bahagia ada di dalam jiwa,

Dekat,

Namun jarang sekali disentuh.

Itulah Reda.

Jikalau kata hanya sekadar kata,

iya, itu mudah saja.

Meredai dengan seikhlasnya juga memerlukan pengorbanan jiwa.

Berdamai dengan keadaan juga membutuhkan masa.

Menerima sebuh takdir buruk pula seperti menghirup air menggelegak dari dalam periuk.

Sakit,

Namun terpaksa dilalui.


Jangan bersedih, Tuhan bersama kita,

Laluilah segala sengketa,

Namun jangan pernah kita tinggalkan Dia.

Teruntuk Diri Sendiri



Teruntuk diri sendiri,

Lihatlah engkau hari ini berdiri,

Meskipun kehidupan hakikatnya tidak mampu digagahi.

Setelah bermacam hal yang engkau lalui,

Lihatlah, engkau masih bisa tersenyum hingga terlihat gigi,

Masih tertawa dan gembira walaupun ada yang menghalangi,

Air mata yang jatuh dipipi,

Engkau juga yang usap sendiri.


Tidak mengapa,

Jikalau berpura-pura bahagia itu bisa melupakan sakit di jiwa,

Teruskanlah tapi jangan pernah lupa,

Untuk sekali-sekala,

Berasa bahagia dengan seikhlasnya.

Untuk engkau terus melangkah,

Hiduplah dan jangan pernah menyerah,

Demi memiliki kabahagiaan itu.


Hari-hari yang mendukakan,

Pasti terasa panjang.

Hari-hari yang menyakitkan,

Pasti terasa pedih dan tidak senang.

Hari-hari itu akan berlalu jua.

Dan hari-hari yang lebih baik pasti ada di hadapanmu.

Wednesday, June 28, 2023

SAJAK SASTERAWAN NEGARA: Baha Zain-Kesaktian Kata-Kata

Kata-kata lepas ke laut menjadi gelombang,

lepas ke daratan menjadi gunung,

lepas ke hutan, alam berubah menjadi gurun,

kata-kata, pada saat terpenjara di dalam sukma,

manusia terasa kehilangan mentari dan sinarnya,

tetapi, pada saat kata-kata bebas,

meninggalkan hati nurani,

manusia mati, tertusuk belati tajam,

daripada tangannya sendiri.


Wahai, saudara-saudara yang mulia!

Berwaspadalah dengan kata-kata,

Supaya kita tidak membunuh diri,

Dengan kata-kata kita sendiri.


Sasterawan Negara

Baha Zain

Monolog Kecil 2 Tentang Kemelut dan Ambiguiti

DBP, 2019




PENGAJARAN

  1. Kita hendaklah menjaga tutur kata ketika berkomunikasi dengan manusia demi menjaga kehormatan orang lain serta mengelakkan diri daripada termakan dengan kata-kata tersebut.
  2. Kita haruslah berfikir sebelum bercakap supaya kata-kata yang dikeluarkan daripada mulut hanyalah perkataan yang memberi manfaat dan tidak menyakiti hati orang lain.
  3. Kita mestilah kurangkan bercakap tentang hal yang tidak memberi manfaat dan tingkatkan kualiti dalam percakapan kita.
  4. Bangsa Melayu merupakan bangsa yang sangat menjaga tutur kata mereka sehingga muncul di dalam sajak yang dinukilkan oleh sasterawan negara.

MAKLUMAT TAMBAHAN

Islam juga mementingkan umatnya supaya menjaga tutur kata, hal ini disebutkan di dalam hadis Rasulullah SAW:



Jagalah kata-kata anda kerana ia lebih tajam daripada pedang. 


Tenang



"Tenang ya, Tuhan selalu punya cara untuk menyeimbangkan segalanya.

Terlihat contoh hampir jatuh, tapi Tuhan akan punya cara menegakkannya semula.

Terlihat patah hampir rebah, tapi Tuhan akan punya cara membangunkannya semula.

Jangan sesekali berfikir jalan takdir seharusnya seperti apa yang kita bayangkan,

Kerana semua itu tak mampu menggambarkan kesempurnaan takdir Tuhan yang sebenarnya.

Tenang ya, semuanya kan baik-baik saja".



Ayat-ayat ini ku petik dari buku Tentang Dewasa karya Hafizul Faiz yang kubeli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (PBAKL). Berulangkali kubaca helaian ini. Lama kurenung mencuba memahami mesej yang ingin disampaikan oleh penulisnya. Kemudian aku membaca helaian seterusnya:


"Izinkan diri untuk terluka

Lagi dan lagi

Kerana hanya dengan cara itu

Kita tumbuh".




Aku berkerut sambil memikirkan maksudnya. Aku mencuba memejamkan mata demi meyelami jiwa penulis ini. 

"Sesukar itukah jalannya demi menikmati dewasa? Jika begitu, aku hanya mahu menjadi anak kecil yang bergembira tanpa masalah. Yang sentiasa tertawa dengan hal-hal sederhana. Yang sentiasa menjadi perhatian orang lain kerana kerenah yang lucu dan membahagiakan". 

Namun, apakan daya, waktu tetap berjalan. Tempoh masa  yang aku ada semakin singkat dan banyak hal yang harus aku lalui. Mahu atau tidak, kita pasti akan menginjak dewasa selagi masa masih ada. Kita pasti akan melalui banyak kerumitan dalam kehidupan. Kita pasti akan berjalan di atas jaln yang berduri. Kita pasti akan merasai kejatuhan yang melukakan. Teringat akan ayat Al-Quran:



 وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ
[Al-Hadid: 4]

Maksudnya: Dan Dia bersama kamu, dimana saja kamu berada.



Hidup tanpa ujian bukanlah sebuah kehidupan. Tetapi apabila kita melibatkan Allah dalam setiap hal kita, Dia pasti akan membantu kita melaluinya dengan tenang. Apabila kita bahagia, kita tak semestinya memperoleh ketenangan, namun apabila kita tenang, kita pasti peroleh kebahagiaan. 

Dengan Kecukupan Itu, Kita Berbahagia



Walaupun kamu tidak pasti,

Arah mana harus kamu tuju,

Teruslah melangkah tanpa henti.


Kadangkala kamu mungkin buntu,

Tetaplah berpijak di atas bumi.

Jika sampai satu masa kamu keliru,

Percaya saja ada kebahagiaan menanti.


Biarkan saja apa manusia ingin kata,

Itu kehendak mereka,

Sedangkan kehendakmu berbeza.

Teruslah terbang ke atas sana.


Meskipun ada yang lebih tinggi,

Kita di sini bukan untuk bersaing siapa yang akan lebih jauh ketika berlari.


Belajar untuk terbang dan berlari juga nikmat.

Dapat menikmati perjalanan,

Dapat menikmati alam,

Dan apa saja yang Tuhan kurniakan untuk kita.

Kita hanya perlu bersyukur untuk bahagia.


﴿وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ﴾

[Surah Ibrahim: 7]

Maksudnya: Dan (ingatlah juga) ketika Tuhanmu memaklumkan "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan manambah (nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikamat-Ku), maka sesungguhnya azabku amat pedih".


Apabila kita bersyukur,

Allah  beri kita satu rasa cukup,

Dengan kecukupan itu, kita berbahagia.


Berhenti memandang manusia,

Tetapi perhatikanlah alam,

Dengan itu kita boleh berjalan dan terbang lagi.


Wednesday, June 21, 2023

Warkah Terakhir



Warkah terakhir darimu.

Helaiannya sudah tidak terlihat baharu.

Tulisannya tetap sama,

Cuma sedikit pudar.


Hari ini,

Aku baca lagi.

Entah buat yang keberapakali.

Kata-katamu tidak pernah gagal masuk ke dalam hati,

Tidak pernah kalah membuat aku menangis hingga airnya tertumpah ke pipi.

Ayatmu tidaklah begitu puitis,

Menjadikan aku mudah memahami.


Aku selalu membayangkan,

Saat kau menulis warkah ini,

Adakah dirimu baik-baik saja?

Kerana setiapkali aku membacanya,

Aku merasakan gelora hebat melanda jiwa.

Hati ini menangis sekuatnya,

Meronta-ronta mengharapkan dirimu tiba.


Tetapi hakikat selalu memberi nasihat,

Reda dan terima.

Itu juga apa yang tertulis di dalam  warkah darimu.

Demi menghormatimu,

Aku tetap melakukannya walau hanya separuh rela.

Aku tetap menerima walaupun yang akan kudapati adalah sakit yang sengaja dipaksa.

Aku tetap menjalani hariku walaupun kasih sayangmu tidak dapat lagi kurasa.

Aku tetap bersyukur walaupun kesusahan dan kepayahan menanti aku setiap masa.


Aku berharap agar kehormatan yang aku usahakan ini,

Menjadi bukti untuk kita bersama lagi,

Di atas reda dan izin Ilahi.


Warkah ini tetap akan kujaga,

Dan sentiasa akan kubaca,

Kerana inilah satu-satunya cara,

Merasa dekat tanpa perlu berjumpa.

Pasti,

Yang terakhir adalah yang paling bermakna.

Terima kasih, ibu

Kerana menuliskan warkah indah buat anakmu yang sering berduka.

Saat Paling Indah



Saat mendoakanmu,

Adalah saat yang paling indah.

Meskipun aku hanya bermimpi melalui kata-kata di dalam doaku,

Meskipun tiada kepastian yang cerah tentang itu,

Meskipun hanya mengungkapkan keinginan di hadapan Tuhanku,

Dia yang Maha Mendengar,

Terlalu pantas dalam mengabulkannya.

Sehingga aku merasakan seolah-olah pada saat yang sama juga,

Aku telah merasakan keinginan itu sangat dekat dan mudah digapai.

Dan yang paling pasti,

Aku dapat rasakan dirimu yang aku doakan,

Selalu dekat.

Dan ternyata,

Rindu semakin terubat.


Di sini, 

Aku ingin memberitahu bahawa,

Aku sangat berbahagia di saat aku berdoa.

Aku berharap agar kau juga berbuat perkara yang sama,

Supaya kita dapat nikmati indahnya rasa itu bersama-sama.

Friday, May 5, 2023

Manusia Paling Bahagia



 Besar tapak tangan, nyiru ditadahkan.


Itulah peribahasa bagi menunjukkan rasa gembira dan besar hati seseorang apabila ada orang yang ingin membantu. Membahagiakan orang lain adalah satu ibadah, dan pada setiap ibadah sudah pasti ada reda Ilahi, tatkala redaNya telah memayungi kita, syurga adalah tempat paling layak didiami.


Pernah ditanya kepada ahli hikmah: "Siapakah manusia yang paling bahagia?" Jawabnya: "Orang yang membahagiakan orang lain".

Dengan sebab itu, tidak pelik Rasulullah SAW menyebut tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A, Nabi SAW bersabda:

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى

Maksudnya: Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.

Riwayat Al-Bukhari


Semoga semua orang baik dan sedang berusaha menjadi baik dan menyebarkan kebaikan demi membahagiakan orang lain, sentiasa dipayungi rahmat Allah SWT sepanjang kehidupannya. Amin.


Keajaiban Buah Kegemaran Baginda




Ketika pelajar di ambang peperiksaan pertengahan, perasaan resah dan gelisah mula menyelubungi mereka kerana persediaan belum disusun begitu rapi. Apakan daya, minggu ulangkaji diadakan ketika seluruh umat Islam menyambut Syawal penuh mulia. Iya, itulah masa yang sepatutnya digunakan untuk bersama keluarga tercinta. Lebih-lebih lagi anak perantauan yang sangat ternanti-nanti waktu itu tiba agar dapat terubat rindu di dada. Tiada siapa yang salah, pelajarlah yang harus bijak menguruskan masa antara keluarga dan pelajarannya. 

Namun saya bercadang untuk memilih mengutamakan keluarga, sanggup bersengkang mata mengulangkaji dan menyempurnakan tugasan di malam hari agar di waktu siang nanti ada masa yang penuh untuk membantu ibu bapa. Tetapi begitulah, malamnya belajar tidak akut. Kadang berat mata, kadang pula berat tangan dan kepala. Akhirnya, minggu ulangkaji hanya tinggal nama. Waktu berlari begitu pantas meninggalkan kita sehingga kita terpaksa berhadapan sendiri dengan peperiksaan dengan tangan kosong tanpa persediaan. Adalah berbaki dua atau tiga hari itupun jika sempat ulangkaji semua tajuk peperiksaan. Saya termenung sendiri lalu terpandang ke arah satu balang kurma yang belum sempat saya habiskan semasa bulan Ramadan sebelum ini. 

Tanpa berfikir lama, saya mengunyah tiga biji kurma kecuali bijinya. Begitulah hari berikutnya sehingga minggu peperiksaan pertengahan berakhir. Ada sesuatu yang saya rasa luar biasa. Setiap kali saya menjawab soalan, jawapan itu pasti muncul dalam fikiran walaupun mungkin terlambat sedikit. Aneh, kerana nota-nota kebanyakannya saya baca sahaja, tidak hafal. Adapun soalannya begitu sukar, ada saja ilham yang datang mengetuk pintu fikiran saya. Mungkinkah disebabkan kurma? Atau kerana kurma itu adalah makanan kesukaan Nabi SAW? Apabila saya memakannya, ia menjadi syafaat yang menerangi jiwa. Apa pun keadaannya saya sangat bersyukur.

Tentang Bunga

  Bunga sering dikaitkan dengan wanita. Warnanya menarik perhatian, Wangiannya harum membuat siapa saja yang menghidunya ketagihan. Direnung...