"Tenang ya, Tuhan selalu punya cara untuk menyeimbangkan segalanya.
Terlihat contoh hampir jatuh, tapi Tuhan akan punya cara menegakkannya semula.
Terlihat patah hampir rebah, tapi Tuhan akan punya cara membangunkannya semula.
Jangan sesekali berfikir jalan takdir seharusnya seperti apa yang kita bayangkan,
Kerana semua itu tak mampu menggambarkan kesempurnaan takdir Tuhan yang sebenarnya.
Tenang ya, semuanya kan baik-baik saja".
Ayat-ayat ini ku petik dari buku Tentang Dewasa karya Hafizul Faiz yang kubeli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (PBAKL). Berulangkali kubaca helaian ini. Lama kurenung mencuba memahami mesej yang ingin disampaikan oleh penulisnya. Kemudian aku membaca helaian seterusnya:
"Izinkan diri untuk terluka
Lagi dan lagi
Kerana hanya dengan cara itu
Kita tumbuh".
Aku berkerut sambil memikirkan maksudnya. Aku mencuba memejamkan mata demi meyelami jiwa penulis ini.
"Sesukar itukah jalannya demi menikmati dewasa? Jika begitu, aku hanya mahu menjadi anak kecil yang bergembira tanpa masalah. Yang sentiasa tertawa dengan hal-hal sederhana. Yang sentiasa menjadi perhatian orang lain kerana kerenah yang lucu dan membahagiakan".
Namun, apakan daya, waktu tetap berjalan. Tempoh masa yang aku ada semakin singkat dan banyak hal yang harus aku lalui. Mahu atau tidak, kita pasti akan menginjak dewasa selagi masa masih ada. Kita pasti akan melalui banyak kerumitan dalam kehidupan. Kita pasti akan berjalan di atas jaln yang berduri. Kita pasti akan merasai kejatuhan yang melukakan. Teringat akan ayat Al-Quran:
وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ
[Al-Hadid: 4]
Maksudnya: Dan Dia bersama kamu, dimana saja kamu berada.
Hidup tanpa ujian bukanlah sebuah kehidupan. Tetapi apabila kita melibatkan Allah dalam setiap hal kita, Dia pasti akan membantu kita melaluinya dengan tenang. Apabila kita bahagia, kita tak semestinya memperoleh ketenangan, namun apabila kita tenang, kita pasti peroleh kebahagiaan.

No comments:
Post a Comment